Kerana lagu itu membelai jiwa.

Selalunya apabila kita datang ke tempat kita melakukan sesi latihan, kita sentiasa dambakan bunyi, tidak kira sama ada suara memekak teman berlatih atau lagu yang dipasang. Tanpa manis, manalah kenal pahitnya. Tanpa meriah, manalah kenal sunyinya. Juga, penyertaan bersama bantuan ergogenik tidak asing lagi dalam sesi latihan untuk memastikan prestasi sentiasa ‘tip-top’. Apa itu bantuan ergogenik? Bantuan ergogenik ialah pengaruh luaran dengan keupayaan meningkatkan kapasiti usaha badan serta mental melalui pemansuhan simtom kelesuan (fatigue) dan boleh jadi dalam pelbagai bentuk seperti pemakaian, kafein, imej dan yang kita akan bincangkan kali ini, muzik.

Jadi bagaimana lagu memberi kesan kepada prestasi latihan?

Dikatakan, muzik mampu membuatkan seseorang untuk mengalih fokus daripada latihan yang bakal dilakukan supaya mental tidak terlalu tertumpu pada kelesuan (fatigue) (Pakar psikologi memanggil teknik ini dengan istilah dissociation) (Karageorghis & Priest, 2008). Hasilnya, antara kesan positif apabila muzik diiring bersama ketika latihan adalah pengurangan ratings of perceived exertion (RPEs), peningkatan prestasi latihan, peningkatan mood, serta merangsang mental (Biagini et al, 2012).

Terry & Karageorghis (2006) telah merangka konsep bagaimana muzik mampu mempengaruhi seseorang dari sudut fisiologi melalui 4 faktor: (1) rhythm response, (2) musicality, (3) cultural impact, dan (4) association. Secara mudahnya, rhythm response berkaitan dengan tempo, musicality berkaitan dengan harmoni serta melodi, cultural impact berkaitan dengan pengaruh muzik dalam komuniti tertentu dan association berkaitan dengan elemen muzik ekstra yang boleh memperhebat. Keempat-empat faktor ini tersusun dengan rhythm response terpenting sehinggalah association yang paling kurang penting.

Satu kajian (Waterhouse et al, 2010) yang melibatkan 12 subjek lelaki untuk berbasikal selama 25 minit sambil mendengar 6 buah lagu popular dalam 3 situasi pada 3 hari yang berbeza. Pada satu hari, pengkaji-pengkaji tersebut meningkatkan tempo lagu-lagu ini sebanyak 10% dan pada hari yang lain pula, mereka mengurangkan tempo lagu-lagu sebanyak 10% dan satu lagi hari dengan tempo yang normal tanpa memaklumkan subjek yang terlibat. Hasilnya? Mereka mendapati mempercepat tempo lagu meningkatkan jarak yang dilalui sebanyak 2.1%, kuasa sebanyak 3.5% dan kadar kelajuan pedal sebanyak 0.7%. Manakala tempo yang lebih rendah pula membawa kepada hasil pengurangan jarak yang dilalui sebanyak 3.8%, kuasa sebanyak 9.8%, dan kadar kelajuan pedal sebanyak 5.9%.

Kajian lain pula (Kargeorghis et al, 2009) mendapati lagu dengan tempo yang laju (125 denyutan per minit) meningkatkan ketahanan (endurance) sebanyak 15% serta mood sepanjang sesi latihan. Kajian oleh Bacon et al (2012) dimana subjek perlu berbasikal mengikut 3 tempo (denyutan per minit) yang berbeza (123, 130 dan 137), mendapati muzik juga mampu meningkatkan efisiensi latihan ketahanan apabila latihan dilakukan mengikut denyutan muzik berjaya mengurangkan pengambilan oksigen sebanyak 7%.

Apa kepentingan muzik dengan tempo perlahan pula? Yang menarik, tempo muzik yang perlahan ditemui mempercepat kadar pemulihan (recovery) berbanding ketiadaan muzik mahupun muzik bertempo laju dalam kajian Savitha et al (2010). Secara spesifiknya, tempoh pemulihan tekanan darah sistolik, diastolic, denyutan nadi serta RPEs bertambah singkat secara signifikan apabila mendengar muzik bertempo perlahan (kurang daripada 100 denyutan per minit).

Bagaimana pula peranan muzik dalam latihan anaerobik? Biagini et al (2012) pula mendapati muzik mempunyai kesan positif terhadap prestasi latihan dengan pergerakan menjurus kepada penjanaan kuasa (power-explosiveness). Dalam kajian ini, subjek menggunakan muzik yang dipilih sendiri (self-selective music) dan spekulasi dapatan kajian terhadap tiada perubahan dari sudut latihan kekuatan adalah kemungkinan muzik tidak cukup rangsangan. Kajian Karageorghis et al (1996) membuat ujian kekuatan genggaman dan mendapati muzik merangsang (disifatkan melalui 134 denyutan/minit) mempunyai kesan positif berbanding muzik sedatif (90 denyutan/minit).

Manakala Brooks & Brooks (2010) membuat review terhadap kajian-kajian yang relevan dan mendapati intensiti serta denyutan/minit muzik adalah dipercayai berpotensi membantu ataupun mengurangkan prestasi anaerobik, sama seperti prestasi aerobik.

Antara contoh lagu-lagu dengan 100 denyutan/minit keatas (sebaiknya 120 keatas);

  • Eye Of The Tiger”, Surivior (109)
  • Beat It”, Michael Jackson (139)
  • I Like How It Feels “, Enrique Iglesias, Pitbull & The WAV.s (129)
  • Lick It”, Kaskade & Skrillex (128)

Antara contoh lagu-lagu dengan 90 denyutan/minit kebawah pula;

  • Inside Out”, Britney Spears (60)
  • My Love”, Sia (62)
  • Green Light”, John Legend & Andre 3000 (62)

Apakah lagu kegemaran anda?

Kesimpulan

  • Potensi muzik dalam latihan – Meningkatkan mood, merangsang mental, mengurangkan RPEs, meningkatkan output kerja, meningkatkan dapatan skil, dan secara keseluruhannya meningkatkan prestasi latihan.
  • Tempo memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan potensi muzik untuk meningkatkan prestasi latihan. Tempo yang lebih laju boleh meningkatkan prestasi latihan aerobik dan anaerobik. Tempo yang lebih perlahan mempunyai kelebihan dalam fasa pemulihan.
  • Tidak kira lagu pilihan sendiri atau yang dipilih, intensiti dan tempo tetap punyai kelebihan dalam potensi peningkatan prestasi latihan.

Rujukan

  • Bacon et al (2012). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/22828457
  • Biagini et al (2012). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/22033366
  • Brooks & Brooks (2010). https://www.asep.org/asep/asep/JEPonlineApril2010Brooks.doc
  • Karageorghis et al (2009). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19325186
  • Karageorghis & Priest (2008). http://thesportjournal.org/article/music-sport-and-exercise-update-research-and-application/
  • Savitha et al (2010). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/21046917
  • Terry & Karageorghis (2006). https://www.piuvivi.com/docs/effetti-musica-sulla-psiche.pdf
  • Waterhouse et al (2010). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/19793214