some_motivation_requiredu2sdetail-500x375

Statistik

Di Malaysia, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), dari Kementarian Kesihatan tahun 2011 telah menunjukkan bahawa kadar penyakit diabetes telah meningkat dari 11.6% pada tahun 2006, kepada 15.2%, sementara hipertensi dari kalangan orang dewasa yang berumur melebihi 30 tahun, telah meningkat dari 32.2%kepada 32.7%.

Juga berdasarkan angka Jabatan Statistik Negara, jangka hayat wanita Cina ialah adalah yang tertinggi di Malaysia, (78 tahun) melebihi kadar jangka hayat purata bagi rakyat Malaysia (77 tahun), diikuti dengan kadar jangka hayat wanita India pula (76.2 tahun) dan seterusnya wanita Melayu (75.3 tahun). Untuk kaum lelaki pula, kaum Cina hidup mempunyai purata jangka hayat yang paling panjang (74.4 tahun), diikuti oleh lelaki Melayu (70.5 tahun) dan India (68 tahun).

Bercakap mengenai obesiti, nisbah 4 daripada 10 orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun sedang mengalami kegemukan atau berlebihan berat badan. Statistik telah menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa di Malaysia meningkat mendadak 250% dalam tempoh 10 tahun (1996-2006) dan menunjukkan sebanyak 14% penduduk negara ini mempunyai masalah obesiti pada tahun 2006 dan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Statistik tahun 2006 hingga 2008 juga menunjukkan 630 kanak-kanak dan remaja dikesan sedang menghidap diabetes dimana sesetengah dari mereka sudah mula menerima suntikan insulin sejak berusia setahun. Negara kita yang tercinta, Malaysia ‘berjaya’ menduduki tempat pertama di kalangan negara-negara di Asia Tenggara dari aspek bilangan rakyat yang mengalami obesiti dan tempat keenam di negara Asia Pasifik. (Laporan Dewan Rakyat 2011)

Baru-baru ini (tahun 2012), hasil kajian yang telah dipaparkan oleh jurnal ilmiah ‘The Lancet’, dimana kajian tersebut telah dijalankan terhadap 122 negara di seluruh dunia, berdasarkan peratusan penduduk di sesebuah negara yang dianggap penyelidik sebagai “aktif” (melakukan sekurang-kurangnya 30 minit senaman sehari), dan dengan hasil yang ‘memberangsangkan’, Malaysia ‘berjaya’ menduduki kedudukan negara ke-10 paling malas di dunia, dan pertama di Asia Tenggara.

559122_483893318287405_52057764_n

Dari sudut dalaman, hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan peningkatan kes gangguan mental dan tingkahlaku sebanyak 6% di kalangan masyarakat berbanding kajian yang sama pada 1996. Masalah kesihatan mental golongan dewasa juga telah meningkat dari 10.7% kepada 11.2%, manakala untuk golongan kanak-kanak dan remaja, ia meningkat dari 13% kepada 20. 3%, menjadi satu angka yang patut diberi perhatian sebelum terlambat.

Menjelang tahun 2030, WHO menjangka penyakit kemurungan (‘depression’) akan menjadi punca utama bebanan yang mengakibatkan ketidakupayaan, selepas bebanan akibat penyakit AIDS dan jangkitan HIV. Menurut Persekutuan Psikologi dan Kesihatan Mental ASEAN pula, negara Malaysia akan mengalami penjejasan ekonomi dan produktiviti sehingga RM1 billion akibat dari penyakit mental di luar kawalan.

Dengan melihat statistik di atas, ia menjelaskan kepentingan mengapa seseorang individu perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat:-

  1. Kesihatan: Mencapai kesejahteraan diri dan orang di sekeliling, dan juga untuk kualiti hidup yang baik.
  2. Rohani: Membina perhubungan yang telus dan ikhlas antara individu dengan Tuhan (Pencipta) melalui dalaman yang indah.
  3. Kecergasan: Melibatkan diri dalam aktiviti fizikal dengan lebih mantap.
  4. Rekreasi: Memudahkan pengisian masa lapang dari segi dalaman dan luaran, dengan sihat dan seronok.
  5. Keseronokan: Mencari kepuasan dan hiburan yang sihat.
  6. Budaya: Membentuk pola tingkahlaku yang diterima masyarakat.
  7. Sosial: Mencipta peluang berinteraksi melalui aktiviti umum.
  8. Teori katarsis: Mengeluarkan perasaan emosi dengan cara yang sihat.
  9. Kecemerlangan: Merealisasikan satu persembahan prestasi yang terbaik.
  10. Astetik: Menikmati kecantikan bentuk badan yang baik.
  11. Kebendaan: Menghasilkan pengiktirafan melalui pelbagai bentuk (nama, gelaran, harta, dll.)

Dengan ini, gaya hidup sihat boleh didefinisikan secara ringkas sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri sendiri dan orang sekelilingnya. Sudah tentu, dalam kehidupan zaman sekarang yang sentiasa penuh dengan tekanan dan gangguan luaran dan dalaman yang kian mengasar, Pengamalan gaya hidup yang sihat menjadi satu kepentingan yang perlu dibentuk dan diamalkan dengan segera.

“Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari mengubati”