Bersukan untuk jadi cergas atau jadi cergas untuk bersukan?

h_exercise

Komponen kecergasan fizikal adalah berlandaskan kepada dua aspek, iaitu aspek kesihatan dan aspek kemahiran motor;

Kesihatan
Kemahiran (Lakuan) Motor
1) Daya Tahan Kardiovaskular
2) Kekuatan Otot
3) Daya Tahan Otot
4) Fleksibiliti
5) Komposisi Badan
1) Ketangkasan
2) Imbangan
3) Koordinasi
4) Kelajuan
5) Masa Tindak Balas
6) Kuasa

Komponen-komponen kecergasan berdasarkan kesihatan

Seorang yang cergas perlu sekurang-kurangnya memenuhi tahap prestasi yang sederhana dalam setiap satu daripada lima komponen kecergasan berdasarkan kesihatan:-

Daya Tahan Kardiovaskular – Keupayaan jantung mengambil dan menyalurkan oksigen yang mencukupi kepada otot-otot yang sedang bekerja bagi satu jangka masa yang lama dan berterusan dengan intensiti kerja ringan atau sederhana.

Kekuatan Otot – Keupayaan otot atau sekumpulan otot dalam satu penguncupan menghasilkan daya maksimum terhadap sesuatu bebanan.

Daya Tahan Otot – Keupayaan otot bekerja dalam satu jangka masa yang lama secara berterusan.

Fleksibiliti – Keupayaan sendi atau sendi-sendi bergerak bebas dengan rintangan yang minimum, dengan merujuk kepada julat pergerakan padanya yang boleh diukur sama ada secara bersudut atau secara linear.

Komposisi Badan – Kadar kandungan lemak relatif kepada otot, lemak, tulang dan tisu-tisu lain yang membentuk badan yang menjadi keperluan dalam sesuatu aktiviti fizikal.

Komponen-komponen kecergasan berdasarkan kemahiran (lakuan) motor

Atlit yang terlibat dengan sukan kompetitif perlu sekurang-kurangnya memenuhi tahap prestasi yang sederhana dalam setiap satu daripada enam komponen kecergasan berdasarkan kemahiran motor, yang member penekanan kepada perkembangan kualiti yang boleh mempertingkat prestasi individu yang terlibat dalam sukan secara berkesan:-

Ketangkasan – Keupayaan untuk mengubah posisi badan dengan cepat dan berkesan, serta boleh mengawal pergerakan keseluruhan badan.

Imbangan – Keupayaan yang melibatkan penglihatan reflek dan sistem otot rangka bagi tujuan keseimbangan badan seseorang individu pada kedudukan statik dan dinamik.

Koordinasi – Keupayaan individu menyelaraskan deria dan bahagian anggota badan untuk menghasilkan satu pergerakan motor yang licin, tepat dan harmoni.

Kelajuan – Keupayaan untuk melakukan pergerakan dengan cepat, dalam jangka masa yang paling minima.

Masa Tindak Balas – Masa yang diambil oleh seseorang individu untuk bertindak balas terhadap rangsangan.

Kuasa – Keupayaan melakukan aktiviti dengan daya yang maksimum dalam jangka masa yang paling singkat.

Apa perbezaan bersenam dan bersukan? Senaman yang baik akan sasarkan kebaikan pada kelima-lima komponen kecergasan berdasarkan kesihatan, manakala bersukan akan menyasarkan sedikit daripada komponen kesihatan dan juga komponen kemahiran motor, mengikut jenis sukan.

Jangan salahfaham pernyataan yang mengaitkan sukan dan senaman, sebab itu berlakunya kes-kes ‘mati mengejut’ dan ‘sakit mendadak’ dikalangan orang biasa, malah atlit sekalipun. Pernah berdepan dengan seseorang atau diri sendiri yang mungkin kelihatan ‘aktif’, rajin bermain sukan seperti futsal, bola sepak, badminton, berjoging, tetapi tiba-tiba mendapat serangan jantung, atau apabila membuat pemeriksaan kesihatan, didapati mempunyai tekanan darah tinggi, paras kolestrol tinggi dan sebagainya?

Tidak salah untuk bersukan, tetapi pada masa yang sama, pastikan kecergasan anda itu ‘mencukupi’ dengan melakukan senaman dengan dos (intensiti) yang betul. Minta maaf awal-awal, kebanyakan doktor di Malaysia secara khusus tidak tahu mengenai protokol senaman. Jadi, dapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dan berkelayakan dalam bidang dan hal-hal sebegini.

daily-exercise

“Those who think they have no time for exercise will sooner or later have to find time for illness.”
-Edward Stanley-