gembira-bahagia 1

Because I’m happy. [Pharrell Williams, Happy]

Sering kelihatan mereka yang bakal memasuki alam perkahwinan tiba-tiba rasa ‘seram sejuk’, mereka yang bercinta rasa ‘retak hati’ dan mendengar lagu kegemaran membuatkan kita rasa ‘naik bulu roma’; emosi juga “berkata-kata”.

Dalam gambaran yang lebih universal, kebiasaannya kegembiraan amat berkait dengan sesuatu yang khusus (kejadian atau pencapaian yang agak spesifik) manakala kebahagiaan mempunyai kaitan dengan keadaan yang lebih umum (kesenangan hidup atau kehidupan berumah tangga). Walau bagaimanapun, kedua-dua perasaan ini saling berkait, juga amat subjektif dan relatif terhadap suatu situasi, atas dasar kesinambungan kompleks antara emosi seperti ini dengan keadaan fizikal manusia.

Kerana kegembiraan dan kebahagiaan seseorang itu tiada ukuran dan gambaran, maka ianya mudah berubah-ubah mengikut peredaran masa dan tempat; Orang yang kelihatan bahagia tidak semestinya bahagia, dan orang yang kelihatan tidak bahagia tidak semestinya tidak bahagia. Cuma individu tersebut sendiri yang tahu (yakni merasa) bagaimana perasaan mereka yang sebenarnya. Keupayaan pemikiran, personaliti dan ekspresi muka memainkan peranan yang sangat penting dalam pemprosesan emosi, positf mahupun negatif.

Banyak kajian telah menyatakan sistem emosi menyediakan kita untuk menghadapi sebarang cabaran di sekeliling dengan mengaktifkan sistem kardiovaskular, skeletalmuskular, neuroendokrin dan saraf autonomik (ANS). Hasil kajian terperinci oleh pengkaji dari Finland melalui kaedah topografi, telah menemui rasa sensasi (semangat yang membakar) paling menyeluruh dan membara berada dalam mereka yang berasa gembira dan bahagia.

gembira-bahagia 2
Topografi badan berdasarkan keadaan emosi. Diambil dari Nummenmaa et al (2014).

Namun demikian, jangan pula kita lupa bahawa emosi dan perasaan manusia adalah bersifat sementara (temporary). Kegembiraan dan kebahagiaan tidak kekal abadi kerana dalam kenyataan hidup, adalah mustahil sama sekali bagi setiap manusia untuk sentiasa memperoleh dan menikmati apa yang dia hajati dan ingini. Apatah lagi manusia sendiri yang tidak memahami nurani, keinginan dan hawa nafsunya yang sentiasa berubah-ubah, malahan sampai boleh bertentangan sesama sendiri. Kawal diri seadilnya, nikmai saat-saat terindah dan sentiasa mencari hikmah disebalik setiap perkara. Kayakan bumi ini dengan kasih sayang.

Secebis mutiara kata;

Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.”

Rujukan:

Hennenlotter A, Dresel C, Castrop F, Ceballos-Baumann AO, Wohlschläger AM, Haslinger B. The link between facial feedback and neural activity within central circuitries of emotion–new insights from botulinum toxin-induced denervation of frown muscles. Cereb Cortex. 2009 Mar;19(3):537-42.

Keysers C, Kaas JH, Gazzola V. Somatosensation in social perception. Nat Rev Neurosci. 2010 Jun;11(6):417-28.

Kövecses Z. Metaphor and Emotion: Language, Culture, and Body in Human Feeling. Cambridge Univ Press, Cambridge, UK. 2000.

Levenson RW. Blood, sweat, and fears: the autonomic architecture of emotion. Ann N Y Acad Sci. 2003 Dec;1000:348-66.

Niedenthal PM. Embodying emotion. Science. 2007 May 18;316(5827):1002-5.

Nummenmaa L, Glerean E, Hari R, Hietanen JK. Bodily maps of emotions. Proc Natl Acad Sci U S A. 2014 Jan 14;111(2):646-51.