ab-1001-1

Prinsip #1: TELUR MEMBAKAR LEMAK!

Kajian oleh pengkaji dari US (Vander Wal et al, 2008) mendapati bahawa individu yang mengambil sarapan bersama 2 biji telur selama 8 minggu hilang lebih 65% berat badan dan 34% pengurangan ukurlilit pinggang berbanding individu yang ambil sarapan bersama roti bagel setiap pagi walaupun jumlah kalori kedua-dua makanan itu sama saja (diet isokalorik).

AIK? MAKAN DENGAN KALORI YANG SAMA TAPI BOLEH TURUN BERAT BADAN LEBIH BANYAK? APAKAH?

Ya, antara yang ingin ditekankan dalam kajian ini ialah telur mempunyai nilai kepuasan (satiety value – SV) yang tinggi. Antara ciri makanan yang mempunyai nilai SV yang tinggi ialah tingginya kandungan air, serat & protein (i.e. kentang, epal, oren).

Ini menunjukkan gaya pemakanan boleh ditambahbaik (diperbaiki) melalui sumber makanan yang murah (low-cost) dan mudah didapati di mana-mana, merujuk kepada ciri-ciri dan bukan kalori semata-mata (energy density).

 

Prinsip #2: DINAMIK SEBUAH HABA.

Semua proses semulajadi yang kompleks -termasuklah sistem badan manusia- tidak boleh diundur (irreversible process) disebabkan komplikasi konfigurasi sistem (Lucia, 2008, 2009).

Hukum pertama (1st law) termodinamik menjelaskan metabolisma manusia; penukaran makanan kepada bentuk tenaga yang digunakan sistem badan bagi membolehkan kita melakukan aktiviti. Tenaga dari badan boleh dimanipulasi melalui tiga cara; (1) pemindahan haba, (2) melakukan kerja (work), dan (3) pergerakan jirim (matter).

Sistem badan kita menunjukkan satu contoh cemerlang dalam proses tersebut; walaupun sumber tenaga (lemak dll) boleh ditukar untuk tujuan melakukan kerja dan memindahkan haba, namun kedua-dua tujuan tersebut tidak boleh ditukar kembali menjadi sumber tenaga. Ianya proses sehala.

Periksa kembali DEFINISI kalori. Ianya akan memberi anda perspektif baharu (harap-harapnya).

 

Prinsip #3: OPOCOT KAU!

Tahukah anda? Gangguan bunyi secara tiba-tiba – kejutan (startle) boleh membawa kepada kecederaan pada sendi terutamanya lutut yang boleh berlaku tanpa sentuhan fizikal (non-contact joint injury) ketika satu aktiviti melibatkan sendi berkaitan.

Ini disebabkan gangguan akustik tersebut terhadap kawalan saraf, menyebabkan perubahan aktiviti sistem saraf secara mendadak (sudden change), seterusnya meningkatkan lagi risiko berlakunya gerakan luar jangkaan (Moffit et al, 2012; DeAngelis et al, 2014).

Pengajarannya, jangan buat member terkejut bila tengah squat. Sayangilah beliau sementara lutut masih elok.

 

Prinsip #4: S.O.R. untuk R.O.M.!

Antara fokus yang digunakan untuk mengoptimumkan prestasi latihan ialah specificity, overloading, repetition. Tahukah kamu, ianya juga boleh diaplikasikan sebagai esen pemulihan (recovery)? Manfaatkan sebaiknya ketiga-tiga fungsi ini untuk memperbaiki ROM (range of motion).

 

Prinsip #5: TIDUR DEMI MASA DEPAN YANG LEBIH “CERAH”?

Ramai antara kita mungkin sudah menyedari bahawa masalah tidur untuk lelaki boleh memberi kesan negatif terhadap tahap testosteron (Wittert, 2014; Barrett-Connor et al, 2008), tetapi tahukah anda, ianya juga mengurangkan kualiti sperma? Kajian pakar dari Denmark (Jensen et al, 2013) yang melibatkan 953 subjek lelaki mendapati 29% pengurangan kepekatan sperma pada mereka yang mempunyai masalah tidur yang ketara. Walaupun masih banyak kajian yang perlu dibuat bagi mengenalpasti punca sebenar disebalik perkaitan ini, ia menunjukkan satu perspektif baharu dalam implikasi kesihatan secara umum.

Saranan? Untuk lelaki, tidur secukupnya dan sebaiknya demi masa depan anda yang lebih “cerah”.

 

Prinsip #6: MERIAH DALAM LATIHAN.

Dalam latihan, senaman fizikal dengan intensiti yang betul akan memberi kesan stimulasi dan adaptasi peningkatan prestasi akan berlaku. Namun semakin lama anda berlatih dengan sistem linear tanpa membuat sebarang perubahan yang lebih pelbagai, adaptasi tersebut akan semakin kurang signifikan dan lama kelamaan akan plateau (Law of Diminishing Returns-LDR).

Pastikan rutin latihan lebih “meriah” dan mencabar fizikal anda dari sudut yang berbeza.

 

Prinsip #7: MENGUAP & MENGELIAT.

Perasan tak apabila bangun dari tidur, anda akan menguap dan mengeliat? Kedua-dua perlakuan ini memberi respon terhadap kekakuan (stiffness) dan ketidakmobilitian (immobility) sementara (temporary) pada sktruktur otot anda yang berada dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Sebagai satu bentuk seni regangan homeostatik (menyeimbangkan), ianya akan “membetulkan” sktruktur tersebut kembali kepada keadaan sebelumnya.

Jika diperhati sebaiknya, sebenarnya dengan cara anda menguap dan mengeliat juga, anda dapat pastikan dimana masalah ketidakseimbangan otot serta masalah kesihatan lain yang berkaitan.