AB Buster!
AB Buster #1
“KARDIO SAJA PALING EFEKTIF NAK TURUNKAN BERAT BADAN?”
Akasa Bina: Saya kira turunkan berat badan ialah bakar lemak. Latihan kardio paling berkesan untuk membakar lemak sewaktu SEDANG bersenam. Latihan rintangan pula paling efektif jika mahu bakar lemak DILUAR waktu senaman. Latihan litar pula ditengah antara dua kesan tersebut.
Saranan? BUAT KETIGA-TIGA. Kepelbagaian akan menjangkakan proses adaptasi lebih (interference effect). Badan terpaksa guna tenaga ekstra (lemak) yang ekstra untuk mengatasinya. Seimbangkan versatiliti senaman.
AB Buster #2
“MINUM AIS WAKTU BERBUKA BOLEH MENYEBABKAN LEMAK DALAM BADAN MENJADI BEKU?”
Akasa Bina: Dalaman manusia bukan negara 4 musim. Sistem badan terlalu istimewa dan eksklusif. Ianya akan melalui proses keseimbangan dipanggil homeostasis; Yang sejuk dipanaskan, yang panas disejukkan kembali kepada suhu badan.
LEMAK TAKKAN BEKU SESUKA HATI HANYA DISEBABKAN AIS.
Kalau tak, dah lama ramai terkorban dalam bulan Ramadhan ni, apatah lagi bulan-bulan lain. Jangan mendosakan ais lagi.
Cukup-cukuplah.
AB Buster #3
“MINUM AIR SEKURANG-KURANGNYA 3 LITER BILA AMBIL SUPPLEMENT? GEMUK AIR?”
Akasa Bina: Tak pernah dengar lagi makan supplement tertentu, kena minum 3 liter air. Memang ada saranan sehari 3 liter tapi untuk keperluan badan secara normal, bukan kerana supplement yang diambil. Ada yang menyarankan 8 gelas air. Ada juga 8-auns 8 gelas air (8×8), yakni dalam 1.9 liter. Jarang ada kes terlebih minum air. Saranan? minum secukupnya. Pendapat mudah majoriti ialah 3 liter. Yang penting badan sentiasa terhidrat.
Gemuk air pula biasanya disebabkan pengambilan garam yang berlebihan (ketidakseimbangan elektrolit badan). Kurangkan garam. Saranan WHO ialah 5 gram garam sehari.
AB Buster #4
“MAKAN TEMBIKAI BERSAMA MADU BOLEH JADI PENING?”
Akasa Bina: Ini boleh terima lagi. Ada yang kata siap boleh membawa maut.
SERIUSLI?
Tolonglah. Islam tak mengajar “copy paste” ilmu secara ‘mem-pig-blind‘. Tiada pula apa-apa catitan sahih mengenai kombinasi tembikai bersama madu serta keburukannya. Malah tiada kajian saintifik pun mengenai perkara tersebut. Dah cari tapi tak jumpa juga.
Melainkan ada sesiapa yang terjumpa catatan kajian atau pendapat sahih mengenainya, minta tolong maklum pada saya. Kita perlukan ruang ilmiah yang sebaiknya, baru nampak molek kan.
Wallahu a’lam.
PS: Islam bukan agama “syok sendiri.”
AB Buster #5
“LEPAS MAKAN SATE, DIGALAKKAN MAKAN TIMUN UNTUK DETOKSIFIKASI?”
Akasa Bina: Persoalan yang sangat menarik. Baik, menurut kajian Kapiszewska (2006) dan Gallus et al (2004), persediaan makananan daging seperti menggoreng dan memanggang akan membentuk unsur genotoksik (i.e. heterocyclic aromatic amines-HAAs, polycyclic aromatic hydrocarbones-PAHs) yang menyebabkan kerosakan DNA dalam sel. Ianya boleh dibuang dari dalam badan melalui proses detoksifikasi sebagai langkah pencegahan kanser, dengan kaedah pengambilan nisbah sayuran (V) kepada daging (M) yang sewajarnya (V/M).
Kajian tersebut yang membandingkan diet dari negara Mediterranean dengan negara lain berdekatan menunjukkan paten NISBAH MENGHAMPIRI ATAU LEBIH 2 (bermaksud ambil sayur 2 kali ganda lebih banyak berbanding daging) membantu merendahkan risiko kanser kolon, payudara dan prostat.
Apapun, saya percaya kerajaan kita telahpun menetapkan jumlah bahagian sayuran, daging, makanan ruji yang bertepatan. Maka marilah ikut saranan kerajaan dimana norma lebih sesuai untuk masyarakat di Malaysia.
RAJIN-RAJINKAN MAKAN SAYUR (peringatan untuk diri sendiri juga).
AB Buster #6
“ELAK MAKAN KARBOHIDRAT AKAN MEMBUATKAN BADAN KURANG AIR? BERAT BADAN AKAN BERKURANG?”
Akasa Bina: Karbohidrat menghasilkan glikogen. Glikogen menyimpan air dalam badan.
Kurang karbohidrat => kurang glikogen => kurang air => kurang berat badan.
Saranan? Makan karbohidrat secukupnya mengikut garis panduan kerajaan. Jangan mengada tak mahu ambil karbohirat, KONONNYA NAK DIET. Ada dua mekanisma secara umum untuk mengekalkan paras glukosa darah iaitu (1) glikogenolisis dan (2) glukoneogenesis.
Kurangnya pengambilan karbohidrat akan memberi tekanan limitasi pada mekanisma (1), menyebabkan mekanisma (2) terpaksa bertindak secara dominan, yakni menggunakan sumber bukan-karbohidrat untuk ditukarkan menjadi tenaga. Kehilangan jisim otot (atrofi otot) akan berlaku. Nak hilang otot ke?
AB Buster #7
“NALURI INSAN YANG LEBIH KEPADA PENDEKATAN HUBUNGAN SEJENIS TERBENTUK SEJAK AZALI, DAN BUKAN PERSEKITARAN DAN HORMON. LATIHAN BEBAN YANG DAPAT MEREMBESKAN HORMON TESTOSTERON TIDAK MEMBERI KESAN APA-APA PADA GOLONGAN INI. SILA HURAIKAN.”
Akasa Bina: Banyak kajian (i.e. Garcia-Falgueras & Swaab, 2010; Emmanuele et al, 2011; Gooren, 2011) mengatakan orientasi seksual telah “diprogramkan” sebelum kelahiran lagi. Faktor genetik dan keturunan turut memainkan peranan. Ada sebahagian pakar menyatakan faktor persekitaran fizikal dan sosial turut mempengaruhi orientasi yang sama. Saya bersetuju; ianya memainkan sebahagian peranan dalam isu tersebut.
Saya fokus pada golongan lelaki dalam konteks kali ini. Dalam soal tahap testosteron (T), pengkaji dari jerman (Zitzmann & Nieschlag, 2001) menemui bahawa tahap T dalam lelaki sihat mempengaruhi kesedaran dan kerangsangan seksual, tetapi tidak bagi hal kebersamaan (partnership); Sebarang modifikasi dalam aktiviti seksual tidak terkesan. Ianya menunjukkan paten keadaan bahawa tahap T tidak mempengaruhi arah (hetero/homo/bi) seksualiti seseorang individu.
Terlalu banyak faktor luaran dan dalaman yang terlibat. Oleh itu, saya menyeru bersama dengan harapan kita bersama dapat membantu golongan tersebut untuk kembali pada fitrah sebaik-baik terciptanya manusia. Kan indah dipasangkan lelaki dan perempuan.
Leave a Reply