Agonis dan Antagonis
Pernahkah anda mendengar tips daripada jurulatih kecergasan anda,
“Jangan lupa buat barbell row kalau nak kasi bench press lagi power.”
Apakah cerita disebaliknya?
Sepertimana mana yang kita ketahui, secara asasnya, terdapat beberapa peranan kumpulan otot yang bekerja ketika kita melakukan satu pergerakan. Antaranya adalah agonis dan antagonis.
Otot agonis akan melakukan pergerakan pada arah yang dikehendaki, dan otot antagonis akan melawan pergerakan tersebut. Kedua-dua akan melalui proses penguncupan. Dalam setiap pergerakan, adalah amat penting untuk memastikan pengaktifan otot antagonis secara optimum bagi mengekalkan intergriti sendi (Gabriel et al, 2006). Baratta et al (1988) menyimpulkan, pengaktifan bersama otot antagonis adalah diperlukan bagi membantu ligamen dalam mengekalkan stabiliti sendi, menyamakan tekanan permukaan artikular (sendi) dan mengawal keberkesanan daya mekanikal yang dikenakan.
Bayangkan berdirinya sebuah bangunan. Tapak yang tidak mantap dan kukuh akan mengoyahkan sktruktur diatas dan seterusnya meningkatkan risiko kerobohan. Begitu juga dengan senaman. Contohnya seperti senaman bench press; Pentingnya apabila baring atas bench sebagai persediaan, antaranya kita akan melakukan retraksi pada tulang belikat (scapula) terlebih dahulu untuk “tapak” yang kukuh. Untuk retraksi tersebut, perlunya otot-otot antagonis seperti trapezius, rhomboids dan latissimus dorsi diaktifkan. Senaman barbell row akan membantu menguatkan otot-otot tersebut. Dengan “tapak” yang kukuh, paduan daya mekanikal boleh dilakukan dengan lebih efektif. Pergerakan bench press dapat dilakukan dengan lebih lancar dan mantap.
Hal ini sangat penting terutamanya untuk senaman-senaman CKC (closed kinetic chain) kerana berlakunya peralihan serentak (concurrent shifting) penguncupan konsentrik dan esentrik dalam satu sinergi (kumpulan) otot ketika pergerakan dilakukan. Perlu diingatkan, dengan dos latihan kekuatan yang mencukupi, adaptasi kekuatan akan membantu meningkatkan nisbah penggunaan otot agonis kepada otot antagonis. Untuk teknik serta kaedah yang betul bagi memperbaiki nisbah kekuatan tersebut, boleh dapatkan khidmat jurulatih kecergasan yang bertauliah berdekatan dengan anda.
Rujukan:
Baratta et al. Muscular coactivation- The role of the antagonist musculature in maintaining knee stability. Am J Sports Med, 1988.
Gabriel et al. Neural Adaptations to Resistive exercise-Mechanisms and recommendations for Training Practices. Sports Med, 2006.
Hakkinen et al. Changes in agonist-antagonist EMG, muscle CSA, and force during strength training in middle-aged and older people. Am Physiol Soc, 1998.
Winter DA. Biomechanics and Motor Control of Human Movement. Wiley, 2009.
Leave a Reply