Emosi, Perasaan melalui Senaman
Senaman yang kerap membantu dalam pencegahan dan pengurusan keadaan kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan obesiti. Ia juga boleh membantu meningkatkan mood, menaikkan semangat dan membuat seseorang berasa lebih baik terhadap dirinya. Apabila bersenam, badan akan mengeluarkan bahan kimia yang meningkatkan perasaan terhadap kesejahteraan dan menyekat hormon yang menyebabkan tekanan dan kebimbangan. Senaman adalah salah satu medium yang berkesan untuk menentang kemurungan dan pelbagai cara boleh dilakukan untuk memjadikannya satu aktiviti yang menyeronokkan.
Badan boleh menghasilkan endorphin, satu bahan kimia yang mengurangkan rasa kesakitan, menguatkan imuniti dan membantu seseorang untuk berehat. Melalui latihan dan aktiviti fizikal, ia akan menggalakkan penghasilan endorphin untuk dilepaskan, disamping mengurangkan aktiviti penghasilan hormon seperti kortisol dan adrenalin yang menggalakkan rasa kebimbangan dan ketegangan. Dengan ini, senaman harian boleh membantu mencapai tahap minda yang lebih positif dan kualiti hidup yang lebih baik.
Tekanan pula boleh menjadi penyebab kitaran pemikiran negatif dan gejala fizikal seperti ketidakselesaan otot, senak dan sakit. Latihan fizikal dan senaman boleh memberi gangguan (‘distraction’) dari kebimbangan, sama ada dengan bersenam sendiri di rumah atau dengan kawan-kawan. Ia juga membuka peluang untuk interaksi sosial. Juga bayangkan diri dikelilingi dengan individu-individu yang aktif ketika sedang berjalan-jalan pada waktu malam di taman rekreasi atau berada dalam kelas senaman di gimnasium. Dengan menjadi lebih aktif, anda akan lebih mudah mendapat rakan-rakan yang mana berkongsi minat sama dalam senaman dan kecergasan. Dengan adanya keyakinan diri baru terhasil dari interaksi tersebut, anda juga lebih cenderung untuk mengadakan perbualan dengan rakan-rakan lain pula dan membuka peluang baru untuk bersosial dengan lebih jauh secara aktif. Ini akan memberi peningkatan dalam kualiti keseluruhan kehidupan.
Sekolah Perubatan Harvard (2011) menyatakan bahawa berjalan, regangan, senaman mental, teknik pernafasan dan teknik relaksasi otot berkesan dalam memerangi tekanan. Untuk mengurangkan tekanan, amalkan pernafasan perlahan, relaks walau di mana jua, dan pada bila-bila masa. Kawalan merelakskan otot adalah cara berkesan melawan ketegangan dan keresahan. Meditasi adalah salah satu usaha paling banyak diamalkan yang boleh menenangkan fikiran, menjadikan seseorang lebih positif dan mengurangkan stress, samada dalam bentuk keagamaan (sembahyang), penggayaan senaman (yoga, tai-chi) dan sebagainya. Kerja rutin harian seperti berkebun dan mengemas rumah juga boleh dilakukan, dimana sebagai alternatif kepada senaman dan boleh menaikkan semangat.
Senaman boleh menjadi pengganti yang berguna sebagai alternatif kepada ubat anti-kemurungan, menurut satu kajian tahun 1999 yang diterbitkan dalam ‘Archives of Internal Medicines’. Dalam kajian berkenaan, lelaki dan wanita yang mengamalkan senaman aerobik untuk memerangi kemurungan mempunyai kadar kejayaan yang sama seperti peserta yang menggunakan antidepresan atau gabungan senaman dan antidepresan. Selepas enam bulan, kebanyakan peserta asal menyumbang kepada kajian susulan, yang mendapati bahawa mereka yang konsisten dengan rutin senaman mereka mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat kemurungan kembali. Menurut ‘Applied Sport Psychology’, program-program latihan dengan jangka masa panjang 10 minggu atau lebih lama menawarkan kesan imuniti terbaik terhadap gejala kemurungan.
“Our bodies are our gardens; Our wills are our gardeners.”
-William Shakespeare-
Leave a Reply