eating-disorders

Terlalu obses dengan berat badan sehingga mengalami masalah gaya pemakanan?
Rasa terlalu ‘gemuk’? terlalu ‘kurus’?
Fobia terhadap penimbang berat badan dan cermin?

Gangguan pemakanan (‘Eating disorder’) adalah satu keadaan yang ditentukan oleh tabiat makan yang tidak normal yang mungkin melibatkan sama ada pengambilan makanan tidak mencukupi atau berlebihan sehingga dikhuatiri menjejaskan kesihatan fizikal dan mental seseorang individu. Bulimia nervosa dan anoreksia nervosa adalah bentuk gangguan pemakanan yang paling biasa dijumpai, terutamanya dikalangan kaum perempuan. Bulimia nervosa adalah gangguan dengan makan minum berlebihan yang terlampau dan boleh menyebabkan muntah, manakala anoreksia nervosa pula disebabkan menahan makan dan minum dengan melampau kerana ketakutan yang tidak rasional terhadap kenaikan berat badan.
Anoreksia Nervosa

Anoreksia nervosa adalah gangguan disebabkan menahan makan dan minum dengan melampau kerana ketakutan yang tidak rasional terhadap kenaikan berat badan, juga memutarbelit persepsi diri terhadap badan. Ia biasanya melibatkan kehilangan berat badan yang berlebihan dan biasanya ditemui lebih pada wanita berbanding dengan lelaki. Oleh kerana fobia terhadap kenaikan berat badan, orang-orang yang mempunyai masalah ini menghadkan jumlah makanan yang mereka makan. Dengan ini, penyekatan pengambilan makanan yang berlebihan boleh menyebabkan gangguan metabolik dan hormon.

Gejala dan tanda kebiasaan gangguan ini termasuk:

  1. Keengganan untuk mengekalkan indeks jisim badan normal (BMI) bersesuaian dengan umur pesakit.
  2. ‘Amenorrhea’, ketiadaan kitaran haid tiga kali berturut-turut.
  3. Takut akan kenaikan berat badan walaupun sedikit dan mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kenaikan berat badan dan khuatir tergolong dalam berat badan berlebihan.
  4. Penurunan berat badan yang jelas, terlalu cepat dan drastik.
  5. Lanugo: penumbuhan rambut yang halus dan lembut di muka dan badan. Satu teori adalah bahawa ini adalah berkaitan dengan hipotiroidisme sebagai hypertrichosis yang serupa berlaku dalam hipotiroidisme. (Stern & Kelnar, 1985)
  6. Obses dengan kalori dan kandungan lemak makanan.
  7. Keasyikan dengan makanan, resipi, memasak; boleh memasak untuk orang lain, tetapi sendiri tidak makan makanan tersebut.
  8. Berdiet walaupun sudah kurus atau kurang berat badan yang melampau/berbahaya.
  9. Penyingkiran: menggunakan julap, pil diet, pil air, atau ‘ipecac syrup’; muntah dengan sengaja terutamanya selepas makan untuk menyingkirkan kalori.
  10. Boleh melibatkan diri dalam senaman berat dengan kerap.
  11. Persepsi diri kelihatan gemuk walaupun diberitahu oleh orang lain bahawa pesakit sudah terlalu kurus dan kekurangan berat badan.
  12. Tidak boleh bertoleransi terhadap sejuk kerana kekurangan lemak penebat badan atau tekanan darah yang amat rendah (pengaliran darah yang tidak baik); Suhu badan jatuh (hipotermia) untuk memelihara tenaga.
  13. Kemurungan: kerap kali dalam keadaan letih dan lesu.
  14. ‘Solitude’: Mengelak dari rakan-rakan dan keluarga dan kelihatan berahsia.
  15. Pipi menjadi bengkak kerana pembesaran kelenjar air liur yang disebabkan oleh muntah yang berlebihan.
  16. Bengkak sendi.
  17. Kembung perut.
  18. Nafas berbau (dari muntah atau kebuluran yang disebabkan ketosis).
  19. Kehilangan dan penipisan rambut.
  20. Perubahan mood secara tiba-tiba.
  21. Kecenderungan kepada penagihan dadah.

 63-04629r

Bulimia Nervosa

Bulimia nervosa adalah gangguan dengan makan minum berlebihan yang terlampau dalam masa yang singkat, diikuti usaha untuk mengelakkan penambahan berat badan kebiasaannya dengan muntah, mengambil julap atau diuretik, dan / atau senaman yang berlebihan (penyingkiran). Bulimia nervosa dikira kurang mengancam nyawa berbanding Anoreksia nervosa, namun gangguan ini kelihatan lebih banyak. Malah mengikut kajian, gangguan Bulimia nervosa adalah 9 kali ganda lebih banyak berlaku dalam golongan perempuan berbanding lelaki.

Gejala dan tanda kebiasaan gangguan ini termasuk:

  1. Refluks gastrik yang kronik selepas makan.
  2. Dehidrasi dan hipokalemia disebabkan oleh muntah yang kerap.
  3. Ketidakseimbangan elektrolit, yang boleh membawa kepada jantung aritmia, serangan jantung, dan juga kematian.
  4. Esofagitis, atau keradangan esofagus.
  5. ‘Boerhaave syndrome’, pecah di dinding esofagus akibat muntah.
  6. Trauma mulut, di mana kemasukan berulang-ulang jari atau objek lain menyebabkan luka kepada lapisan mulut atau tekak.
  7. ‘Gastroparesis’ atau pengosongan perut yang lambat/tertangguh.
  8. Sembelit.
  9. Ketidaksuburan.
  10. Kelenjar membesar di leher, di bawah garis rahang.
  11. Peptik ulser.
  12. Parut di belakang tangan disebabkan trauma tekanan, geseran yang berulang dari gigi kacip.
  13. Turun naik berat yang berterusan.
  14. Perhubungan yang kerap antara gigi dan asid gastrik, khususnya, boleh menyebabkan hakisan gigi yang teruk.

bulimia

“Take care of your body. It’s the only place you have to live.”
-Jim Rohn-