Saya pernah membuat perkongsian mengenai inersia dalam Facebook sebelum ini. Kali ini saya nak berkongsi ilmu tambahan mengenai inersia dalam pergerakan manusia.

Inersia adalah kecenderungan untuk menahan sebarang objek dari mengubah posisi atau pergerakan. Lagi tinggi inersia, lagi susah nak ubah. Dari bergerak, payah nak berhenti. Dari tak bergerak, payah nak bergerak. Tapi bagaimana kita nak mengukur inersia? Bila bercakap tentang pengukuran prestasi (performance measure), setiap pembolehubah (variable) mesti boleh diukur (measurable).

Secara mudah, JISIM adalah cara kita mengukur inersia. Lagi tinggi jisim (dalam Bahasa “pasar”, kita suka sebut “berat”), lagi tinggi inersia. Contoh situasi, kita boleh banding-tengok antara motorsikal dan lori. Kalau kedua-dua bergerak dengan kelajuan 100km/jam kemudian tetiba tekan brek, yang mana lagi lambat nak berhenti? Sudah tentu lori lagi lambat sebab jauh lagi tinggi jisim lori berbanding jisim motorsikal.

Jadi secara mudahnya, INERSIA = JISIM.

Cuba bayangkan kudrat yang diperlukan untuk lawan inersia kapal terbang ini supaya ia bergerak?

Aplikasi dalam pergerakan manusia

Untuk tahu bagaimana inersia berfungsi dalam pergerakan, kita kena tahu secara asasnya bagaimana manusia bergerak. Saya pernah berkongsi info berkaitan pergerakan dalam Instagram. Saya bangkitkan kembali dalam artikel kali ini.

Pergerakan adalah perubahan dalam posisi. Posisi adalah kedudukan dalam suatu ruang. Apabila anda berubah dari posisi duduk kepada berdiri, maka anda sedang bergerak dari posisi duduk kepada berdiri. Pergerakan boleh dibahagikan kepada linear, angular dan pergerakan umum (general motion). Pergerakan linear boleh dibahagikan kepada dua iaitu rectilinear dan curvilinear.

Rectilinear = Pergerakan dalam satu garisan lurus.

Curvilinear = Pergerakan dalam satu garisan melengkung.

Curvilinear tak ada radius yang tetap. Jika ia mempunyai radius yang tetap, maka kita akan bergerak dalam bentuk putaran. Inilah pergerakan angular (rotation). Kalau kita guna-gabung kedua-dua pergerakan linear dan angular, jadilah pergerakan umum. Contoh paling mudah untuk pergerakan umum, kita ambil pergerakan yang kita guna hampir setiap masa, berjalan kaki. Apabila kita berjalan kaki kedepan (pergerakan umum), badan kita bergerak lurus kedepan (pergerakan linear) sambil menghayun kaki kedepan (pergerakan angular). Faham? Baik, berbalik kepada inersia. kita sebagai manusia punyai sendi-sendi yang membuatkan anggota badan kita bergerak dalam bentuk putaran untuk kita lakukan pergerakan linear secara umumnya. Contohnya, kita menghayun kaki kedepan untuk berjalan kaki kedepan. Contoh lagi, kita menghayun tangan kedepan untuk membaling bola kedepan.

Inersia boleh berlaku dalam situasi berputar dipanggil sebagai momen inersia, iaitu kecenderungan untuk menahan sebarang objek dari mengubah posisi atau pergerakan berdasarkan paksi putaran. Dalam sukan, inersia sangat penting apabila bercakap tentang mengubah pergerakan atlet/objek dalam sukan (change in motion). Selain jisim, jarak antara jisim dengan paksi putaran adalah sangat penting dalam momen inersia. Contohnya dalam badminton, ketika ingin melakukan pukulan servis, pemain badminton akan memegang raket lebih rapat atas dengan kepala raket (tumpuan jisim raket) supaya jarak antara pegangan tangan dengan kepala raket lebih dekat lalu mengurangkan kesan momen inersia. Ini sangat penting bagi memastikan kawalan yang lebih bagus untuk lakukan pukulan servis yang efektif.

Pukulan servis dalam badminton

Dalam situasi latihan di gim pula, saya bagi contoh variasi senaman bahu lateral raise. Senaman lateral raise memerlukan pelaku untuk angkat pemberat (biasanya dumbbell) ke sisi bahu sehingga kedudukan pemberat dan tangan selari dengan lantai. Dalam situasi ini, biasanya jika pemberat terlalu berat, pelaku biasanya cenderung untuk bengkokkan tangan berlebihan bagi merapatkan jarak antara pemberat dengan otot bahu lalu mengurangkan kesan momen inersia. Kalau bahasa gim, orang biasa memanggil situasi ini sebagai salah satu bentuk “cheating” atau “ego lifting” disebabkan penggunaan pemberat yang terlalu berat boleh membawa kepada pergerakan jerk yang berisiko kecederaan. Adalah penting untuk memilih pemberat yang bersesuaian supaya senaman lateral raise dapat dilakukan dengan betul dan menyasarkan otot bahu dengan efektif.

Senaman lateral raise

Apa yang boleh disimpulkan melalui artikel ini adalah inersia boleh menjadi satu kebaikan (kawan) atau keburukan (lawan) bergantung kepada bagaimana kita mengamati konsep inersia serta mempraktiskan dalam situasi kehidupan seharian. Semoga artikel ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca. Terima kasih.

Rujukan

McGinnis PM. Biomechanics of Sport and Exercise. 3rd edition. Human Kinetics, 2013.